Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
JERUDONG, Khamis, 16 April. - Comquest Sdn. Bhd. dan Dynamik Technologies hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi memperkasa penggunaan 'hybrid cloud' di Negara Brunei Darussalam, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur serta keupayaan digital negara.
Majlis penandatanganan tersebut berlangsung sempena SYNAPSE 2026, sebuah acara yang menampilkan keupayaan 'hybrid cloud' dan inovasi teknologi digital.
Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua syarikat akan memformalkan kerjasama strategik dalam menyediakan penyelesaian 'hybrid cloud' dengan memanfaatkan AWS Outposts.
Pengurus Besar Comquest Sdn. Bhd., Gaurav Shrotriya berkata, penganjuran acara tersebut bersama rakan ekosistem utama bertujuan memacu penggunaan 'hybrid cloud' secara praktikal yang mengimbangi inovasi, penguasaan data serta daya tahan sistem.
“MoU ini mencerminkan penyelarasan strategik antara kekuatan yang saling melengkapi, iaitu kepakaran Comquest dalam 'hybrid cloud' dan infrastruktur serta pemahaman mendalam Dynamik Technologies terhadap keperluan sektor awam dan perusahaan tempatan," katanya.
Beliau menambah bahawa kerjasama ini menjadi asas kukuh dalam menyediakan perkhidmatan 'hybrid cloud' yang selamat dan berskala, di samping menyokong perjalanan transformasi digital Brunei secara berterusan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Pengiran Noreen Afiza binti Pengiran Dato Paduka Haji Md Zain berkata, syarikat berkenaan telah menyokong pelanggan kerajaan dan industri dalam infrastruktur IT di premis (on-premise) selama 25 tahun.
Menurutnya, langkah syarikat untuk memperluas ke arah 'commercial cloud' bersama Comquest dan AWS Outposts merupakan kesinambungan semula jadi kepada keupayaan sedia ada, sekali gus memperkenalkan model hibrid yang lebih bersepadu.
“Pendekatan ini akan membolehkan organisasi di Brunei memaksimumkan manfaat awan dan kecerdasan buatan dari segi kelajuan transaksi, pengurusan data serta 'scalability' teknologi. Pada masa yang sama, ia turut membuka peluang kepada bakat tempatan dan usahawan untuk menembusi pasaran global," jelasnya.
SYNAPSE 2026 yang dianjurkan bersama oleh Comquest dan Dynamik Technologies di The Empire Brunei menghimpunkan pihak berkepentingan daripada kerajaan, sektor swasta serta komuniti diplomatik bagi meneroka pendekatan praktikal dalam penggunaan 'hybrid cloud'.
Acara tersebut turut menekankan peranan teknologi awan yang semakin penting sebagai asas kepada inovasi berasaskan kecerdasan buatan merentasi pelbagai sektor.
Penganjuran SYNAPSE 2026 juga mengukuhkan kerjasama berterusan antara Comquest, Dynamik Technologies dan AWS dalam memperluas keupayaan 'hybrid cloud' serta menyokong fasa seterusnya transformasi digital di sektor awam dan swasta Brunei.